Tuesday, January 8, 2013

Mentol Lampu Telah Digunakan Untuk Pencahayaan Dalam Dunia Mesir Purba

Mesir purba merupakan satu daripada tamadun paling mengagumkan yang pernah dibangunkan oleh manusia. Masyarakat Mesir purba memiliki pengalaman dan pengetahuan luas yang mustahil merupakan warisan daripada satu masyarakat primitif. Di kalangan golongan sesat masyarakat Mesir, terdapat juga cendikiawan yang memiliki kebijaksanaan yang datang dari zaman Nabi Nuh (as) dan Nabi Ibrahim (as). Golongan cerdik pandai Yahudi ini pernah menggunakan ilmu yang diwarisi daripada para nabi terdahulu. Satu daripada pengetahuan tersebut adalah menggunakan elektrik untuk pencahayaan.


Jumpaan pelbagai ukiran dinding dan corak pada dinding Kuil Hathor di Kompleks Kuil Dendera, Mesir membongkar satu maklumat menarik tentang masyarakat Mesir kuno. Sebahagian besar daripada ukiran dinding tersebut, sebagaimana yang dipaparkan di bawah, terdapat di Kompleks Kuil Dendera. Rekaan ukiran tersebut menunjukkan bahawa orang-orang Mesir purba mendapat pencahayaan melalui penggunaan mentol dan lampu arka.

Pemeriksaan teliti terhadap gambar-gambar berikut di Kuil Hathor menunjukkan bahawa penebat bervoltan tinggi telahpun digunakan, sama seperti yang ada pada masa kini; ini disokong oleh tiang berbentuk segi empat bujur yang menyerupai sebiji mentol (dipercayai telah digunakan sebagai penebat dan dikenali sebagai Djed Column). Keserupaan menakjubkan dengan mentol lampu yang kita gunakan pada hari ini amat menarik.



Walter Garn, seorang jurutera elektrik berbangsa Austria telah mengkaji ukiran berkenaan secara terperinci,
dan menghasilkan semula penebat Djed Column, mentol dan pintalan wayar. Model yang dibina oleh beliau berfungsi dan memancarkan cahaya.


Dalam satu siaran dokumentari pada September 1996 oleh saluran Amerika ABC, sistem pencahayaan ini telah diuji oleh saintis di hadapan kamera. Kejayaan sekali lagi dicapai dan cahaya diperolehi. Secara asasnya, ini hanyalah mentol dan ia berfungsi melalui teknik yang dipaparkan pada lukisan dinding masyarakat Mesir kuno, sehingga menghasilkan cahaya. Dalam video berikut, anda dapat melihat sendiri bagaimana cahaya diperolehi melalui kaedah yang digunakan oleh orang-orang Mesir purba.



Dalam lukisan dari Kuil Dendera ini, empat lampu filamen (komponen dalam lampu yang menghasilkan pemanasan) lebar dapat dilihat di sebelah kiri.
Seutas kabel
bersambung dari satu bateri elektrik gergasi di sebelah kiri yang menghasilkan kuasa pada lampu-lampu tersebut



Pemerhatian mendalam terhadap gambar di atas mendapati bahawa kabel elektrik yang menyambungkan bateri dengan lampu dilapisi manik-manik kecil yang berturutan.
Manik-manik sebegitu digunakan untuk menebat elektrik yang mengalir pada kabel. Gambar di bawah menunjukkan satu daripada lampu arka yang pertama kali dikeluarkan dalam abad ke-19.




Pencahayaan di zaman Mesir kuno dihasilkan melalui penggunaan mentol klasik yang kita gunakan hari ini. Pelbagai gambaran masyarakat Mesir yang menunjukkan peranti umpama mentol dengan wayar-wayar filamen, pemegang dan wayar arus elektrik. Dalam gambar berikut, orang itu sedang membaca teks gambar pada dinding dengan menerangi kawasan sekeliling menggunakan lampu di tangannya.



Gambar tersebut jelas menunjukkan filamen menghasilkan aliran elektrik di dalam lampu yang dipegang oleh orang Mesir itu. Sama seperti mentol yang ada pada hari ini, filamen yang digunakan oleh penduduk Mesir kuno adalah berbentuk lingkaran. Lingkaran filamen yang dipanaskan oleh arus elektrik ini akan memberi pencahayaan dengan memancarkan cahaya, sama sebagaimana yang diguna pakai pada masa kini.



Lampu filamen pertama yang dicipta oleh Thomas Edison dan ditunjukkan dalam gambar,
memiliki satu persamaan dekat dengan lampu yang dipegang oleh orang Mesir berkenaan.


Dalam gambar ini yang ditemui pada dinding sebuah makam di Kuil Dendera,
seutas kabel elektrik direntangkan dari sebuah lampu bermentol tiga



Gambar ini menunjukkan sebiji bateri dan kabel dalam pegangan satu daripada tiga orang serta lampu elektrik dalam pegangan seorang lagi.



Ilustrasi ini memberitahu kita tentang pelan pencahayaan dalam Kuil Dendera. Dalam bahagian A, lampu yang telah dialihkan daripada bateri dimasukkan pada lampu yang dibawa dipegang dengan tangan. Bahagian B menunjukkan bahawa bateri berwarna merah bersambung dengan lampu elektrik putih. Dalam seksyen C pula, sebuah lampu elektrik berdiri pada satu tempat yang panjang dan tipis, iaitu sumber tenaganya. Dua lingkaran dapat dilihat pada lantai di sebelah kanan dan kiri; ia berkemungkinan disambungkan pada kutub positif dan negatif sumber kuasa berkenaan. Skru-skru dapat dilihat di antara kabel.


Satu bukti bahawa masyarakat Mesir purba mungkin telah menggunakan elektrik adalah ketiadaan sebarang kesan jelaga pada dinding dalaman makam dan piramid mereka. Seandainya dahulu mereka mengunakan obor dan lampu minyak untuk pencahayaan, maka kesan jelaga pasti akan tertinggal. Namun tiada sedikitpun kesan yang ada, bahkan bilik paling dalam pun tidak berjelaga. Mustahil pembinaan dapat diteruskan tanpa adanya pencahayaan, lebih-lebih lagi untuk menghasilkan mural menakjubkan pada dinding-dinding piramid. Ini menguatkan kemungkinan bahawa sememangnya elektrik telah digunakan dalam dunia Mesir kuno.



Tiang Djed (Djed Column) yang sering ditemui dalam hieroglif masyarakat Mesir mungkin melambangkan peranti elektrik sebegitu. Tiang Djed boleh bertindak sebagai satu penjana untuk memancarkan cahaya melalui cara ini.